Setibanya Afandi di perkarangan rumah, Afandi terus melulu masuk kerana ingin bertanyakan kepada Nani sekiranya dia tahu tuan empunya kereta yang berada di hadapan rumah mereka. Apabila dia masuk, terlihatlah Afandi seorang lelaki yang duduk bertentangan Nani. Nani juga baru terperasankan Afandi yang sedari tadi terjegat memerhatikan dia dan teman kantornya, Farhan, di ruang tamu itu. Serba salah, lalu Nani menyapa, "Dah balik? Ini kawan sepejabat Nani. Dia bawa...". Belum pun sempat Nani menghabiskan ayatnya, Afandi mengangkat sebelah tangannya sebagai tanda tak perlu perjelaskan apa-apa kepadanya.
"Mesti dah salah faham ni..", bisik hati Nani.
Setelah selesai perbincangan mereka, Farhan pulang. Sebelum itu sempat dia mengusik Nani, "Jangan dia salah faham sudah. Saya datang bawak Hasanah kan ?".
"Tak apa. Nanti saya jelaskan. Mungkin dia pun dah letih tu..", balas Nani tersenyum dengan gurauan Farhan. Sebelum pulang, Hasanah menyalami tangan Nani dan mengucapkan terima kasih atas khidmat nasihat yang diberikan. Lalu, Nani menghantarkan mereka sehingga ke pintu pagar. Sebelum naik ke atas, Nani sentiasa memastikan pintu rumah dan tingkap dikunci dengan baik. Ini semua untuk keselamatan bersama. Dia juga memastikan dapurnya bersih sebelum tidur supaya keesokan pagi hari dia sudah tidak perlu bersusah-payah membersihkan pinggan mangkuk yang bersisa di dalam singki. Terasa lapang hati setelah menyelesaikan semua kerja-kerja yang patut.
"Baru boleh naik atas sekarang..", senyum Nani puas sambil di tangan membawakan susu panas buat suaminya.
Setelah itu, Nani naik ke tingkat atas. Pintu dikuak, dan terlihat sekujur tubuh yang terbaring di atas katil. Nani duduk di birai katil bersebelahan Afandi. Dia mengejutkan Afandi perlahan, lembut," Awak.. Bangun minum susu dulu." Afandi tidak membalas.
"Abang.. Bangun la. Minum susu dulu", kejut Nani lagi sambil tangannya memegang wajah Afandi. Afandi terjaga dengan sentuhan itu. Bingkas dia bangun, mengambil susu di tangan Nani. Tersenyum Nani bila Afandi menggosok mata seperti anak kecil. Sewaktu Nani menyuakan susu panas itu, jelaslah pada penglihatan Afandi akan kesan luka pada dahi Nani dek terhantuk pada meja petang tadi. Lamunannya terhenti.
"Saya nak gosok gigi dulu. Awak dah?", soal Nani. Tidak berjawab. Apabila Nani keluar dari bilik air yang terletak di bilik tidur mereka juga, Afandi bersuara,
"Siapa tadi? Kenapa tak cakap ada kawan datang? Lelaki pulak tu..".
" Kawan pejabat Nani tu, Farhan. Dia bawa adik dia, Ada masalah belajar sikit. Maaf, tak cakap dulu kat awak dia orang datang. Tiba-tiba aje dia orang dah muncul depan rumah..", jawab Nani perlahan.
"Tak ada pun adik dia tadi? Perempuan ke lelaki?", soal Afandi.
"Adik tu tadi ke tandas sebab tu awak tak nampak tadi. Hasanah namanya. Baru je tingkatan 3. Kesian la budak tu macam adik saya juga..", jawab Nani lagi.
Perbualan mereka berakhir. Walaupun terasa tegang hubungan itu, mereka masih tidur di bilik dan katil yang sama. Senyap. Sunyi. Setiap malam begitu. Seolah tidak ada apa-apa. Nani terasa ingin meluahkan perasaanya. Ingin bertanya kenapa suaminya selalu marah-marah dan selalu dingin dengannya. Dalam diam, cuma Afandi yang telah menawan hatinya. Mungkin tak ada orang lain lagi yang bisa menggantikan tempat Afandi. Lelaki itu sangat dia kasihi dan sangat dia kagumi. Dia juga tidak pasti kenapa Afandi yang menjadi pilihan hatinya. Tapi, bila mereka sudah berkahwin, dia tidak dilayan sebaiknya. Layanan yang patut sebagai seorang isteri. Bertepuk sebelah tangankah dia..?Bukankah Allah swt sudah berfirman dalam Al-Quran yang mengatakan isteri-isteri itu ladang bagi suami.
"Hmm.." keluh Nani perlahan. Nani cuba bersangka baik pada Afandi. Apalah gunanya berburuk sangka. Afandi di sebelah telah lama pejamkan mata. Nani mengintai disebalik bantal peluk yang memisahkan mereka.
"Nani sayang abang..", ucap Nani perlahan setulus hatinya sambil mngucup dahi dan mengusap lembut kepala suaminya. Lalu Nani tidur walhal, Afandi di sebelah hanya tidur-tidur ayam selepas dikejutkan Nani tadi. Dia terkedu bila Nani menciumi dahinya dan mengucapkan kata-kata itu. Terasa sebak dadanya. Nafasnya seolah tersekat.
" Maafkan aku, aku tak bisa jadi suami yang baik..", keluh Afandi sendirian.
Memikirkan tentang hal tadi, Afandi jad tak keruan. Cemburukah dia? Kenapa perlu perasaan itu hadir padanya pada saat begitu? Apa yang sedang bermain di fikirannya sebenarnya? Afandi keliru dengan perasaannya sendiri.
Malam itu masing-masing tidur dengan hati yang meninggalkan persoalan demi persoalan. Mungkin tidak terjawab sekarang. Nani mahu tahu dan Afandi harus perjelas. Dalam tertanya-tanya begitu, Nani dan Afandi tertidur akhirnya.
Perkahwinan itu...
No comments:
Post a Comment