Tuesday, July 19, 2011

..Di Persimpangan..(sambungan ke-9)

Afandi di sebelah hanya tersenyum kepada doktor dengan pertanyaan Nani itu.

 “Belum lagi. Kita tak periksa lagi. Kejap lagi kita nak buat ujian darah. Oh ya! Darah kerap keluar dari hidung ke?”, tanya doktor.

Belum sempat Nani menjawab pertanyaan doktor, telefon bimbit Afandi berdering secara tiba-tiba. Semua memandang kea rah Afandi. Afandi memberi isyarat kepada Nani untuk ke tempat lain untuk menjawab panggilan tersebut. Nani mengangguk.

“Doktor, saya dah tau apa yang nak doktor sampaikan. Semalam saya pengsan mungkin sebab tak makan. Saya kurang selera. Hal penyakit saya tu, kalau doktor tak percaya boleh call doktor saya, Doktor Maryam.”, terang Nani tanpa dipinta.

“Hmm. Begitu rupanya. Tapi, saya tak boleh lepaskan Nani balik dulu. Pemeriksaan tetap kena buat sebagai pesakit kami di sini.”, tersenyum doktor membalas .

“Mmm.. doktor!”, panggil Nani tiba-tiba.

“Ya, saya.”

Afandi masih rancak berborak di telefon di luar wad. Sesekali dia tertawa dengan si pemanggil. Nani masih nampak Afandi dari katilnya. 

“Tentang penyakit saya tu tak perlu beritahu pada suami saya, nanti saya akan cakapkan sendiri padanya”, pesan Nani.

“Kenapa tak nak saya cakapkan?”, soal doktor.

“Err..”, Nani menoleh ke kiri dan ke kanan seolah mencari jawapan yang tidak pasti.

“Sebab.. sebab suami saya sakit jantung.”

Nani berasa kurang enak dengan jawapan yang diberikan.

“Eh tak! Astaghfirullah.”, latah Nani memukul mulutnya sendiri.

“Bukan doktor, suami saya banyak urusan di pejabat. Tengok tu. Orang call pun tak sudah lagi.”, jawab Nani selamba sambil tersenyum.

“Hmmm..”, berat doktor Amal ingin memutuskan. Selepas berbincang dengan beberapa housemanship yang mengelilingi doktor Amal itu, mereka memutuskan.

“Tapi, kalau apa-apa terjadi kami tak tanggung ye. Tidak menjadi urusan hospital lagi.”, doktor mengingatkan Nani.

“Ye, tak apa doktor saya faham.”, balas Nani.

Afandi sudahpun celapak di situ, berdiri di sebelah katil Nani.

“Macam mana doktor?”, soal Afandi tiba-tiba.

“Kejap lagi kita periksa sikit. Kalau tak ada masalah boleh balik.”, senyum doktor Amal.

Afandi menggosok kepala Nani, seperti menggosok kepala anak kecil. Nani rasa terhibur diusap begitu.

Dia berbisik dalam hatinya. Moga Afandi memaafkannya kerana merahsiakan tentang sakitnya.

Nani sudahpun dua tahun disahkan menghidap leukemia jenis limfoblastik akut atau singkatannya LLA iaitu leukemia tahap kritikal. Sejenis leukemia yang dicirikan oleh limfoblas yang berlebihan dan anemia yang teruk. Anemia adalah satu kondisi seseorang yang mengalami kekurangan sel darah merah. Limfoblas  adalah salah satu daripada sel darah putih yang terhasil secara abnormal, sel darah muda yang pesat terhasil di dalam tubuh. Keadaan ini menyebabkan kekurangan sel-sel darah  putih yang matang dan sekaligus melemahkan sistem ketahanan badan terhadap penyakit. Nani sudah lali untuk membuat pemeriksaan lanjutan dan mendapatkan rawatan, apalagi berhadapan semua itu sendirian.    

Semuanya bermula semasa dia di semester akhir. Nani mengalami sakit di bahagian belakang kepala dan hidung yang sering berdarah terutama apabila cuaca panas. Emak selalu berpesan kepada Nani supaya selalu minum air pada mulanya. Ini kerana, emak menyangka Nani hanya kurang meminum air kosong dan menyebabkan panas di dalam badan. Tetapi, kata doktor kemungkinan itu juga menjadi faktor hidung Nani selalu berdarah.

Tanpa berlengah, Nani pergi ke klinik membuat pemeriksaan, tetapi apabila dia mula kerap sakit doktor meminta Nani membuat pemeriksaan lanjut di hospital kerana kata doktor Nani berkemungkinan telah mengalami ketumbuhan di kepala. Terkejut Nani dengan perkhabaran yang sebegitu.

Selepas pemeriksaan doktor mengesahkan. Kesakitan yang dialami selama itu bukanlah kerana ketumbuhan, tetapi kerana kanser darah, Leukemia. Doktor menjangkakan Nani hanya mampu hidup antara tiga hingga enam bulan sahaja jika rawatan tidak diambil segera. Nani tergamam. Dia mahu menangis, tapi ditahan. Perkara itu dirahsiakan. Dari sesiapun termasuk emak dan ayah apalagi suaminya, Afandi.

Pada mula mereka berkahwin, Nani ada mengadu kepada Afandi kerana memang pun pesakit Leukemia akan kerap jatuh sakit justeru sistem ketahanan badan yang cukup lemah. Tetapi, Afandi hanya membalas,”Apa saya boleh buat? Saya bukan doktor”.

 Setiap kali Nani mengadu sakit kepada Afandi hanya itu jawapan yang diberikan. Terasa pedih hatinya dilayan begitu oleh suaminya sendiri. Afandi tidak lansung membawanya berjumpa doktor mahupun bertanya lebih lanjut jika dia menghidap apa-apa penyakit. Sejak daripada itu, Nani tidak lagi memberitahu Afandi apa-apa lagi, apabila dia dalam kesakitan, demam mahupun di dalam kesusahan.

Jangka hayat yang dikatakan doktor itu mungkin salah kerana dia percaya, Allah itu lebih berkuasa ke atas hamba-hamba Nya. Kata doktor pula, semua itu kerana semangat yang ada di dalam jiwa Nani.

Sehingga sekarang Allah masih mengizinkannya untuk menghirup udara di atas bumi ini. Sebagaimana yang tertulis dalam kitab suci Al-Quran;

“Sesuatu yang bernyawa tidak akan mati melainkan dengan izin Allah, sebagai ketetapan yang telah ditetapkan waktunya…”
(Ali-‘Imran ayat 145)

Firman Allah itu sudah lama tersemat di dalam hati Nani. Kerana ayah selalu berpesan dan emak selalu mengingatkan. Terkedu Nani apabila emak dan ayah mengingatkan begitu. Seolah-olah mereka tahu Nani merahsiakan sesuatu dari mereka. Tetapi, Nani pura-pura bertenang.

 Semasa belajar dulu, Farhan selalu menegur Nani tentang berat badannya yang semakin hari semakin susut. Nani masih dapat menyembunyikannya. Tetapi, Farhan tahu Nani merahsiakan sesuatu darinya. Bukan hanya Farhan, tetapi teman-teman yang sudah lama mengenali Nani juga ada menegur. Nani cuma menjawab dia tidak sempat untuk menjamah kerana kesibukan menyiapkan kerja projek.

Sekarang ini, Nani masih mendapatkan rawatan susulan di HUKM. Sesekali Farhan bertanyakan khabarnya bila dia tidak ke pejabat. Nani masih tersenyum dengan keikhlasan Farhan yang masih mengambil berat tentangnya. Cuma Nani mengingatkannya, tidak usah mengejar sesuatu yang tidak pasti. Farhan mengerti tetapi, dia juga berharap Nani tidak menyalah ertikan niatnya. Dengan keikhlasan seorang sahabat itu dia menceritakan segalanya tentang sakitnya kepada Farhan.

Sejak itu, Farhan banyak memberi kata-kata perangsang. Kata Nani, rawatan kemoterapi yang diterima banyak memberi kesan sampingan ke atasnya dari segi penampilan, emosi di samping dia begitu sukar untuk menceritakan semua rawatan yang diterimanya. Kerana baginya semua itu terlalu perit untuk dilalui.
Sesekali Farhan datang menemani Nani mendapatkan rawatan walaupun tidak disuruh Nani. Itupun jika dia berkelapangan untuk berbuat demikian. Farhan bimbangkan keselamatan Nani, dengan rupa Nani terkadang pucat tak bermaya.
Nani banyak terhutang budi dengan Farhan. Hatinya terkadang sedikit gembira bila Farhan menemani dan memahami keadaannya tanpa dipinta. Tetapi, pada Nani kasihnya masih buat Afandi.  

* * * * * * * * * * * * *


Pukul 6 petang. Mastura datang melawat, membawa sebakul buah tangan. Afandi masih setia menemani di sebelah. Mastura melambai ke arah Afandi.

“Siapa tu?”, Tanya Nani.

Mastura. My officemate, tapi lain department.”, jawab Afandi yang membalas lambaian Mastura.

Nani berasa kurang senang dengan penampilan Mastura, berbaju kurung jarang sehingga menampakkan tiang betisnya. Terasa jelik dengan selendang yang terlihat jambul di depan. Dia terasa menyampah bila Afandi melayan lambaian dari seorang perempuan yang sebegitu rupa. Moodnya tiba-tiba berubah.

Lalu, Nani berpura-pura sakit kepala. Dia merebahkan badannya dan menarik selimut menutupi badannya.

“Kenapa ni?”, tanya Afandi.

“Saya rasa sejuk tiba-tiba.”, balas Nani.

“Hai Fendy! Hai..”, sapa Mastura, Afandi dan Nani.

Nani cuma tersenyum. Nani tahu perempuan itu datang bukan untuk melawatnya. Tetapi, untuk bertemu Afandi. Nani yang berada di atas katil itu seperti tidak wujud pada mereka. Afandi dan Mastura rancak berborak di hujung katil Nani, sesekali mereka tertawa. Nani rasa tersisih.

Dia lalu bangun untuk ke kaunter, ingin bertanya tentang laporan doktor sebelum dia dibenarkan pulang. Afandi segera membantu Nani bila dia perasan Nani seperti terkial-kial untuk bangun.

“Tak apa , saya ok”, balas Nani.

Nani juga perasan. Mastura menjeling ke arahnya.

“Apehal ntah perempuan ni. Aku tak suruh datang pun, dah datang buat aku macam tunggul. Pastu, nak jeling-jeling. Korek biji mata tu kang! Sabar jelah..”, geram Nani di dalam hati.

“Nak pergi ke mana?”, soal Afandi.

“Nak pergi kaunter, nak tanya dah siap ke belum laporan. Rasa panas je duduk kat katil tu lama-lama”, jawab Nani.

Afandi perasan nada marah Nani. Lalu, dia meminta Mastura pulang. Sebelum pulang Mastura berbisik sesuatu ke telinga Afandi. Ketawa mereka berderai.

“Astaghfirullah..”.

Nani mengalihkan pandangannya. Mengurut dadanya, menahan sabar. Dia terasa benci benar berada di situ pada ketika itu. Terasa mahu cepat pulang ke rumah. Nani tiba-tiba rasa marah dengan sikap Afandi.


Sebelum maghrib menjelma, Nani sudah dibenarkan pulang.Gara-gara kekok berduaan di dalam kereta, Afandi tidak membiarkan suasana di dalam keretanya itu sunyi. Lalu siaran radio diputarkan, terdengarlah Nani lagu yang selalu dimainkannya di kala mengenangkan sikap Afandi yang selalu dingin terhadapnya, Sampai Syurga nyanyian Faizal Tahir.


Ku membenarkan jiwaku untuk mencintaimu
Ku persembahkan hidup ku untuk bersama kamu
Dan diri ku untuk kamu
Belum pernah ku merasai begitu

Semua itu telah berlalu
Harapan ku palsu
Dan mungkin hari satu
Terus ku tertunggu

Di hati ku masih kamu
Belum pernah ku ingin terus memburu

c/o Aku lemah tanpa kamu
Ku ingin mu dampingi ku
Aku fahami aku bukan terbaik untuk diri mu
Sampai syurga ku menunggu
Sampai syurga ku cinta mu
Hanya satu
Hanya kamu..

Ku membiarkan hati ku
Untuk merindui mu
Ku menghamparkan sakit ku
Untuk tatapan kamu
Bersama mu
Harapan ku
Hilang dalam terang yang
Membutakan ku

Dan segala yang ku ada
Ke berikan semua
Untuk dirimu saja

Ku mahu diri mu
Bahagia untuk selamanya
Biar sampai syurga
Aku menunggu cinta dari mu
Agar ku sempurna

Namun aku tetap aku
Yang terbaik untuk diri ku
Hanya satu..


Hatinya sebak. Dia menoleh ke kiri, melihat ke luar tingkap. Nani mahu menangis tetapi, terasa air matanya terasa kering. Memang Afandi lelaki yang telah mencuri hatinya. Nani menyimpan perasaan itu seorang diri, mahupun merahsiakannya dari emak ayah. Dia menyimpan kemas perasaan itu biarpun masih bersekolah. Ketika itu, mungkin dia belum mengertikan perasaan itu. Tetapi, dia telah berjanji pada hatinya dan dirinya untuk menjadi permaisuri dalam hidup Afandi. Nani juga keliru pada mulanya. Perasaan itu terus hadir biarpun buat pertama kali dia melihat Afandi.

Bila dia menjejakkan kaki ke menara gading dan bertemu dengan ramai jejaka, dia sanggup menolak cinta mereka hanya kerana menunggu balasan kasih dari Afandi yang belum pasti tika itu. Tapi, dia terasa hampa. Hampa dengan sikap Afandi. Dengan layanan yang diterima. Semuanya di luar jangkaan otak fikirnya. Dia terasa mahu menyesal. Tapi, tidak ada gunanya lagi.

Lelaki itu padanya berjiwa lembut. Punya akhlak yang baik. Tetapi, dia tidak menyangka. Afandi punya ramai kekasih dan pernah punya teman paling istimewa di hatinya, Marina hingga tidak dapat dilupainya meskipun telah selamat menikahi Nani. Nani masih tidak dapat melupakan gambar-gambar yang dilihatnya tempoh hari. Dia malu. Malu melihat Afandi berkepit dengan perempuan-perempuan yang tidak langsung dikenalinya. Jiwanya terasa mahu menjerit apatah lagi bila dia dilayan seperti sampah, boneka dan tunggul di dalam rumah itu.

Haruskah sekejap itu dia menerima dengan baik layanan yang diberikan Afandi untuk satu hari ini? Atau dia mahu menyimpan dendam terhadap Afandi, suaminya sendiri..? Dia bukan mahu menyimpan dendam, tetapi padanya Afandi sendiri yang telah membuat hatinya begitu. Hati yang belajar berhadapan dengan sesuatu sendirian. Hati yang kental. Tegar. Retak. Dan kosong.

Kosong………..…?

Bila Nani mendengarkan lagu kegemarannya tika itu, masih tegarkah hatinya menunggu Afandi sampai ke syurga..? Dia benar sayangkan lelaki itu, tetapi mengapa Afandi melayannya begitu..? Nani keliru. Tidak ada sekelumit perasaankah Afandi padanya..? Selalu yang hadir padanya ketika dia kesedihan adalah Farhan. Kenapa Afandi tidak pernah muncul menemaninya..? Adakah Allah sengaja menguji perasaannya dengan menghadirkan Farhan saat dia memerlukan Afandi..? Masih perlukah dia menumpang kasih dari lelaki itu..?
Persoalan-persoalan itu selalu tidak dapat Nani jawab. Dan dia selalu membiarkan soalan itu tergantung tanpa jawapan.

Malam itu, Nani masih ingat. Malam selepas pernikahan mereka.......