Friday, September 16, 2011

..Di Persimpangan..(sambungan ke-12)

Sesampainya Nani dan Afandi di rumah, masing-masing berdiam diri walaupun bertembung di ruang tamu. Masing-masing terus membuat kerja seperti biasa, mandi dan bersedia untuk solat maghrib.

“Kita solat sama ya?”, tanya Nani pada Afandi dalam nada mengajak setelah mandi.

Nani cuba tidak mengeruhkan lagi  keadaan. Hanya dengan mengajak Afandi solat bersama membuatkan suasana kembali reda biarpun, tidak ada isu untuk mereka bualkan.

 Nani membentangkan sejadah. Seperti yang dipinta, Afandi mengimamkan solat Nani maghrib itu. Seusai solat, Nani menciumi tangannya dan mencapai al-Quran yang letaknya di rak buku.

Hati Nani bertambah tenang selepas menunaikan solat dan mengalun merdu ayat al-Quran. Kesyahduan ayat al-Quran itu, membuatkan dia menangis. Begini hebat ujian yang diberikan Tuhan kepadanya.

Di saat ujian melanda, dia selalu mohon kepada Tuhan, semoga Allah mengampunkan segala dosa yang telah dilakukan dan memudahkan segala urusannya. Terkadang dugaan yang diberikan Tuhan itu, membuatkan dia berasa buntu dan celaru fikiran. Tetapi, keajaiban Tuhan selalu berlaku. Nani sangat bersyukur di atas pemberian itu.

Fikirannya bercelaru selepas menyaksikan Afandi berduaan dengan wanita lain di restoran itu tadi. Hatinya rasa mula berbelah bagi, mungkin itu yang seperti Kak Manis rasakan. Tetapi, dia tidak tahu hal sebenar apa yang berlaku ke atas Kak Manis.

Nani rasa berdendam dengan suaminya sendiri. Dia merasakan Afandi tidak pernah jujur membalas cintanya yang tulus lagi ikhlas. Hampa sekali. Dia tahu Afandi telah berhubung dengan ramai perempuan di facebook, tagged, ym dan banyak lagi laman sosial yang Nani sendiri tak dapat senaraikan. Dia pernah menyuarakan ketidak puas hatiannya itu, tetapi Afandi menjerkahnya, memarahinya dengan kata-kata kesat. Dia terguris. Apa dosanya? Tidak ikhlaskah dia mencintai suaminya itu selama mereka berkahwin? Apa kuirang dirinya?

Di sepertiga malam, dia selalu menangis pada Tuhannya. Memohon diberikan kekuatan rohani , jasmani dan kesabaran yang tinggi. Semoga Allah membuka pintu hati Afandi. Nani tidak tahu untuk keberapa kali lagi dia menitiskan air mata mengenangkan sikap Afandi yang begitu. Walaupun dia berjanji dengan dirinya untuk tidak menegur atau bercakap dengan Afandi jika Afandi berkasar dengannya, tapi itu mustahil. Nani merasakn tidak lengkap harinya jika tidak bercakap dengan suaminya walaupun dia tahu Afandi tidak akan membalas.

Sesekali Nani menangis semasa bertadarus al-Quran pada waktu maghrib itu. Kalimah mulia kitab suci itu mengusik hatinya.  Biarpun dia sedang membaca ayat-ayat Quran itu tetapi fikirannya entah ke mana.

Masalah yang dialaminya itu tidak pernah sekali dia menceritakannya kepada sesiapa pun. Dia gagal. Gagal menjadi seorang kaunselor yang berjaya.  Dia dapat membantu dengan masalah yang ditanggung kliennya, tetapi dia menjadi buntu dengan masalahnya sendiri.

Hatinya benar-benar sebak. Nani tersedu-sedan di tikar sejadah itu. Afandi menoleh melihat Nani. Nani menghabiskan ayat terakhir yang harus dibaca pada muka al-Quran itu. Lalu menutupnya. Dia bingkas bangun ingin ke bilik air membasuh mukanya yang basah dengan air mata.

Nani berwudhuk. Mengharapkan dengan air wudhuk itu dia dapat membuang segala luka di hatinya dan meredakan marahnya pada Afandi.

Afandi sedari tadi masih di birai katil. Membelek telefonnya.

“Nak makan tak?”, soal Nani, sedikit berubah suaranya.

“Kejap lagilah..”, balas Afandi.

Afandi perasan wajah Nani. Hidung dan matanya merah walupun Nani cuba menyembunyikan wajahnya dengan tuala yang digunakan untuk mengelap wajahnya yang basah itu.

Nani menuruni tangga. Dia selalu tertanya padsa diriny, mengapa Afandi tidak pernah mengasihi dirinya. Tidak ada perasaankah dia..? Nani sangat kecewa.

Dia terus mencapai diarinya, yang berada di bilik bawah itu. Lalu menuliskan sebuah sajak yang direkanya sendiri.


Di Persimpangan..

Betapa jauh di hempas badai
Ku hanyut
Hati merintih
Terkunci mulut membisu..

Perjalanan yang jauh ini
Bagai tiada sudahnya
Liku ranjau ku tempuh
Dalam mencari sebuah jawapan..

Di sudut kecil hati ku
Sering berkata
Apa yang terjadi
Ada hikmah di sebaliknya

Ku beranikan diri
Menentang arus yang deras
Demi hari esok
Ku relakan

Walau tiada tangan menghulur
Kan ku tetap
Berdiri teguh
Beranikan diri
Ku bangkit semula

Tuhan
Hanya engkau mengerti
Perjalanan hidup
seorang insan
Ku mohon
secebis kekuatan
Dari Mu
Dan senipis kesabaran
milik Mu..

p/s: Apakah selama ini aku hanya berangan-angan untuk hidup bahagia bersamanya..? :’-(


Jam sudah pun menunjukkan pukul 10 malam. Afandi tertunggu jika Nani mahu memanggilnya untuk makan malam bersama. Semasa di restoran tadi, dia hanya menjamah sebagai syarat.

 Nani tidak langsung muncul mengajaknya makan. Di dapur juga tidak kedengaran Nani sedang memasak selepas Nani keluar dari bilik itu tadi.

Afandi ke bawah. Dia ingin melihat apa yang dilakukan Nani sedari tadi. Dia menjengah ke dapur, Nani tidak ada di situ. Di ruang tamu, di halaman rumah juga tidak ada langsung kelibat Nani. Afandi teringat tandas di cerok dapur itu, lantas dia ke sana mengetuk pintu bilik air, Nani masih tidak ada di situ.
Afandi tersenyum . Dia teringat akan peristiwa pada hari Sabtu lalu.

Tanpa berlengah lagi, dia ke bilik yang dikhaskan untuk tetamu itu. Memang Nani berada di situ. Dari celahan pintu bilik itu, Afandi lihat Nani tidur tertiarap. Letih benar nampaknya.

Afandi masuk, maka terlihatlah dia betis Nani dek kerana kain batik yang dipakai Nani telah terselak. Dia merenung tajam. Matanya menjalar ke seluruh pelososk tubuh Nani. Di tangan Nani masih memegang sebatang pen. Afandi lihat di atas katil itu juga ada sebuah buku, seolah Nani baru sahaja selesai mencoretkan sesuatu di atasnya. Mungkin Nani juga tidak sedar yang dia telah tertidur, Afandi mengagak.

Afandi mencapai diari itu. Lalu dibacanya walaupun tanpa keizinan Nani. Hati Afandi tersentuh dengan bait-bait sajak yang ditulis Nani itu. Hatinya sebak.  Dia terasa berdosa perbuat Nani terseksa sendirian. Afandi mahu menyelak muka catatan yang ditulis Nani sebelumnya tetapi, dia belum sempat berbuat demikian.

“Ish..”, marah Nani, merampas kembali diarinya.


 Afandi melabuhkan punggungnya, duduk di hadapan Nani. Nani menggosok mata, memperbetulkan dududknya. Mereka sama-sama tertunduk. Afandi menarik tangan Nani supaya duduk di sebelahnya. Nani sedikit mengeraskan tubuhnya tanda enggan untuk didampingi.

“Nur Amnani..”, panggil Afandi lembut.

Nani sedikit terkedu dengan panggilan itu. Dia sebak sepertinya mahu menangis. Namanya dipanggil penuh Afandi. Afandi jarang sekali menyebut namanya walaupun hanya dengan panggilan ‘Nani’ yang sesingkat itu.

 Walaupun dia berasa marah terhadap Afandi, dia masih menyayangi lelaki itu dan masih berharap lelaki itu membuka pintu hati untuk menyayanginya juga. Lalu, dengan lemah Nani menggerakkan tubuhnya ke arah Afandi.

Mereka duduk bersebelahan dan bertentangan. Kedua tangan Nani digenggam. Afandi melihat isterinya yang masih tertunduk itu. Tidak tahu bagaimana harus memulakan bicara. Dia kelu seketika. Apakah dia harus berterus-terang pada malam itu. Dia bingung. Dia marah dengan dirinya sendiri kerana tidak dapat melaksanakan tanggungjawab sebagai seorang suami dengan sempurna. Dia berasa kecewa melayan Nani dengan kasar. Dia benar-benar sedih dengan sikap dirinya yang tidak adil terhadap Nani. Layanan-layanan yang tidak sepatutnya, diberikan pada Nani. Dia tahu Nani lagi sedih kerana dilayan sebegitu rupa. Dia belum pernah terjumpa bidadari dunia sebaik Nani. Nani sangat menjaga dirinya, pergaulannya, peribadinya yang cukup indah buat hati Afandi. Dia tahu Nani sangat ikhlas menyayanginya.  Tangan Nani digenggam kemas.

  Tangan kanan Afandi mengusap lembut wajah Nani. Afandi juga sayangkan wanita yang berada di hadapannya itu. Dia juga sudah lama menyimpan perasaan terhadap Nani. Tetapi, dia kesal dengan egonya yang tinggi. Tidak pernah mengalah dengan perasaannya yang sebenarnya telah lama sayangkan Nani.

Nani menjadi sebak. Sentuhan itu membuat hatinya begitu sayu. Air matanya menitis. Dia merindukan sentuhan seorang suami. Terasa air matanya turun dengan laju.

Afandi terkedu. Dia memegang bahu Nani sesekali menyapu air mata yang menitis. Dia menjadi serba salah. Kepala Nani diusap. Malam itu Afandi tidak mahu lagi melayan egonya. Dia merenung Nani. Tubuh Nani didekatkan ke tubuhnya, lalu dipeluk. Afandi membiarkan Nani tersedu di bahunya.

Nani membalas pelukan itu walaupun mulanya dia sedikit keras untuk membalas. Pelukan mereka erat sekali seolah telah berpisah untuk jangka masa yang sangat lama. Sendu Nani semakin kuat dan dia cuba mengawalnya. Nani rindukan pelukan dari seorang suami.

“Abang….”, Nani memanggil biarpun kalimah itu terasa berat untuk dilafazkan dari bibirnya.

Afandi mencium dahi isterinya sesekali mengusap kepala Nani. Masih comel isterinya walaupun dalam sendu dan masih anggun dengan rambut yang panjang itu. Dia seharusnya bersyukur punya isteri secantik Nani. Tetapi, dia terlupa. Terlupa untuk menilai nikmat-nikmat yang dihadiahkan Tuhan, yang selama ini diidamnya. Air mata Nani masih laju menitis.

Pada ketika itu, hati Nani terasa melimpah-limpah dengan pelbagai persoalan dan pertanyaan buat Afandi. Tetapi, dia tidak pasti harus dari mana dia memulakan pertanyaannya.

“Abang, abang tak sayangkan Nani..?”

Afandi tidak menjawab. Bukan kerana melayan egonya, tetapi dia tidak dapat menjawab kerana ketika itu hatinya benar-benar sayu. Dia kecewa dengan dirinya.

“Kita dah lama berkahwin. Kenapa abang …”.

Belumpun sempat Nani menghabiskan ayatnya, Afandi memeluknya dengan lebih erat sehingga membuatkan kata-kata Nani seolah tersekat.

Pada saat itu, Nani masih teringat pesan seorang rakan lelakinya. Lelaki mahupun seorang suami tidak akan memberitahu pasangan tentang perasaanya tetapi, cubalah mengerti dengan perbuatannya. Nani mengiyakan ingatan rakannya itu di dalam hati ketika itu. Mungkin pelukan itu bermakna Afandi memang sayangkannya. Tetapi, dia juga mahukan kepastian tentang layanan yang diberikan Afandi selama ini. Sikap yang selalu baran tidak tentu masa.

Dalam keadaan payah, Afandi cuba untuk berterus-terang, seolah dia memahami persoalan yang masih tergantung di minda Nani. Dia sengaja mengasari Nani, membiarkan perempuan menelefonnya meskipun mereka semua adalah sepupu-sepupu Afandi sendiri, menyimpan gambar-gambar perempuan walhal dia tidak pernah mengenali mereka.  Semua itu dilakukan dengan terancang oleh Afandi supaya Nani akan membencinya, supaya Nani tidak lagi punya perasaan padanya. Afandi merasakan dia bukanlah lelaki yang layak untuk bertakhta di hati Nani kerana satu dosa itu. Dia tidak mahu meluahkannya meskipun melukakan hati isterinya itu lagi. Dia merasakan dia adalah insan yang sangat keji, sangat hina.

Nani berasa tidak logik dengan penjelasan yang diberikan Afandi. Tetapi, dia tidak mahu menyoal biarpun di benak hatinya punya pelbagai soalan yang tidak terjawab. Dia mahu mendengar penjelasan yang sebenarnya dari Afandi, berdiam dan mendengar itu adalah tindakan yang bijak baginya. Lagipula, dia juga tidak mahu mengeruhkan keadaan yang kembali pulih itu.

Malam itu mereka menghabiskan masa yang sangat panjang untuk bercerita tentang apa yang tidak terluah selama perkahwinan mereka, selama mereka telah disahkan sebagai suami isteri.

Nani tersenyum di dalam hati. Dia merasa gembira malam itu. Ini kerana, segala kekusutan di kepalanya telah dijelaskna Afandi.

Pada malam itu, satu kenangan terindah telah tercipta. Di hati mereka menampakkan anak-anak pokok kasih sayang yang mula membiak setelah sekian lama dan Nani berdoa di dalam hati kecilnya agar ia akan tumbuh subur menjadi pohon-pohon bunga yang sangat cantik.

“Nani, maafkan abang..”. Hati Afandi berbisik.

* * * * * * * * * * * * * *

Semasa di UK dulu, memang pergaulan Afandi dan Marina sangat bebas, tidak terkawal. Tetapi, Afandi melayan Marina hanya sekadar suka-suka walhal Marina sangat sukakan Afandi.

Dalam asyik melayan Marina terkadang hatinya terasa kekosongan untuk dihuni seorang penghuni yang namanya wanita, lalu mereka ternoda. Walaupun tidak terlanjur, tetapi Afandi pernah tidur sekatil bersama Marina.

Apakah hal sebegitu perlu diperjelaskan kepada Nur Amnani, isterinya yang sangat suci itu? Afandi tidak sanggup melukai hati isterinya itu menjadi lebih parah. Apa yang telah dilakukan sekarang, jua telah banyak mennggalkan kesan luka pada hati Nani. Dia berdosa, kerana menyakiti isterinya yang sangat luhur hatinya.

“Maafkan abang. Abang berdosa, abang bersalah.”