Monday, July 25, 2011

..Di Persimpangan..(sambungan ke-10)

Malam itu Nani masih ingat. Malam selepas pernikahan mereka, Afandi keluar bersama teman-temannya sehingga ke larut malam. Nani hanya menanti biarpun sudah lewat malam. Menunggu kepulangan seseorang yang baru bergelar suami padanya. Bila ditanya, katanya meraikan pernikahan mereka. Jawapan yang diberikan agak kasar di telinga Nani. Hairan sekali. Nani tidak dibawa bersama. Bila Nani teringatkan gambar-gambar perempuan di laci itu, Nani menjadi curiga. Sejak hari itu. Sejak dia melihat gambar-gambar itu, dia benar-benar tidak dapat menerima kesemua perilaku Afandi yang selalu menghilang dan jarang berada di rumah sebelumnya. Adakah Afandi telah menipunya selama ini..? Tidakkah Afandi menghargai kesetiaan dan kejujuran yang dipertaruhkan Nani untuknya..?

 Nani tidak dapat menipu dirinya. Dia masih dan tetap rindukan Afandi walaupun, dia berasa Afandi berbuat tidak baik kepadanya. Baru hari itu, Nani belajar tentang erti butanya cinta. Dia baru mula  memahami perkara yang selalu disebut-sebut orang itu. Sakit otaknya bila teringatkan semua hal itu. Tidak dapat diterima akalnya.

 Di dalam kereta itu masih sunyi. Diam tanpa suara sedikit pun.

Nani merasakan terlalu banyak yang disimpan dalam hatinya dan kepalanya terasa sakit. Berdenyut.

“Ahh….”, jerit Nani dengan suara yang dalam, memegang kepalanya.

Afandi terkejut.

“Awak kenapa? Buat saya terkejutlah!”. Ada nada marah pada suara Afandi. 

Nani tidak menjawab. Dia masih menahan sakit yang sengaja dibuat-buat. Tetapi, Afandi hanya marah padanya. Padanya, dia hanya mahukan perhatian dari lelaki itu. Dia sendiri tidak faham mengapa Afandi selalu tidak mengendahkannya bila dia mengadu sakit.

 Afandi masih mahu menjaga egonya. Nani berharap Afandi akan memujuknya untuk tidur di bilik mereka pada malam itu. Semalam Nani terdengar Afandi meminta maaf. Nani tahu. Semua itu hanya sekejap. Afandi hanya berdiam diri.

“Malam ni saya tidur di bilik bawah eh.”, Nani meminta izin dengan suara yang masih di buat-buat lembut. Walaupun dia sudahpun memberitahu tentang hal itu semalam dulu tetapi, dia sengaja mengulanginya untuk meraih perhatian Afandi.

“Saya nak bersendirian.”, sengaja Nani menambah.

Afandi tidak menjawab dan terus ke bilik atas.

* * * * * * * * * * * * * * *


Sebelum Afandi keluar bekerja, dia telah meninggalkan satu notis buat Nani. Sengaja dia keluar terlebih awal pada pagi itu, hanya bersarapankan sekeping roti dan secawan kopi yang telah disediakan Nani selepas subuh tadi.

Semasa Nani mahu melangkah keluar, dia terlihat notis itu di pintu rumah yang ditampal Afandi. Nani mengmbilnya dan membaca;


Buat isteri ku,

Maafkanlah silapku, lupakanlah salahku..
Terlalu bodoh untuk diri ku menahan berat jutaan rindu..
 Apa lagi menahan egoku..
Maafkanlah silapku, lupakanlah salahku..
Luahkan pada ku, takkan ku biar kau manangis, takkan ku biarkn kau terkikis terluka prasaan oleh smua ucapanku..
Maafkan smua sifat kasar ku bukan maksudku melukaimu..
Aku hanyalah insan yang penuh dengan dosa..

Suami mu.


Nani terasa sebak dadanya. Benarkah Afandi memahami hatinya selama ini..? Dia jadi terharu. Benarkah dia hanya berprejudis tentang semua perilaku Afandi selama itu..? Perasaannya bercampur-baur. Dia keliru dengan  sikap Afandi yang sebenar.

Sebelum melangkah pergi, dia masih berfikir. Mahu direnyuk, buang atau disimpan ucapan maaf dari suaminya itu..? Nani mengeluh dan dengan bersahaja dia menyimpannya terlebih dahulu di dalam tas tangannya.

“Fikir kemudianlah.”

Semasa Nani keluar dari perkarangan rumah, hujan renyai-renyai turun bagai menangisi hatinya. Dan langit menjadi gelap. Nani terasa suram pada pagi itu.


“Asaalamualaikum Nani, apa pasal ni? Pagi-pagi macam ni monyok aje? Macam cuaca pagi ni. Hujan.. Awak ok tak?”, tegur Farhan dengan ramah bila terlihat Nani di muka pintu pejabat dengan wajah yang tidak ceria.

 “Waalaikumsalam. Farhan, saya oklah. Sakit perut.”, bohong Nani memegang perutnya.

“Awak tak makan ke tadi? Macam mana semalam? Eh!  Your husband dah tau?”, soal Farhan lagi bertalu-talu.

“Hmm..”, keluh Nani. “Dah makan tadi. Semalam? Tau apa ni?”, Nani menggaru kepala, pura-pura tidak tahu.

“Dah la tu Farhan. Saya nak buat kerja ni. Kejap lagi Kak Manis nak datang. Kakak yang sukakan awak tu..”, kata Nani sambil tersenyum ke  arah Farhan. 

“Saya tak nak lah kat dia. Aduh!”, Farhan membalas mengetuk kepalanya sendiri.

Nani tersenyum lagi. Sebab itu dia suka Farhan menjadi temannya. Farhan selalu membuatkan dirinya tertawa apabila  dalam kesediahan atau bermuram durja. Hatinya rasa terhibur dengan sikap Farhan yang sangat mengambil berat tentangnya dan juga pandai mengambil hatinya.

Pukul 10.30pagi. Kak Manis datang dengan wajah yang muram. Kak Manis memang sudah biasa di pejabat itu. Semua orang juga sudah kenal dengan sikap Kak Manis yang ceria dan sangat ramah itu. Tetapi, hari itu smua jadi tertanya-tanya bila Kak Manis datang dengan wajah yang muram dan tidak menegur siapa-siapa. Dia terus melulu ke bilik Nani.

Tanpa mengetuk terlebih dahulu, dia terus masuk. Duduk di sofa yang sedia ada di bilik Nani itu.

“Nani……”, panggil Kak Manis dengan suara yang sedang menahan nangis.

Dia menangis. Nani jadi tergamam dengan perlakuan Kak Manis hari itu.  

Terus dia menuju mendapatkan Kak Manis.

“Kenapa ni kak..?”

“Akak tak tau nak cerita macam mana Nani. Hati akak sedih..”, balas Kak Manis tersedu.

“Kenapa ni..? Perlahan-lahan. Tenangkan hati, tenangkan fikiran dulu. Bertenang ya, bersabar, bersabar. Ambil nafas dulu..”

Lama Nani menunggu Kak Manis menghabiskan sisa sendunya.  Sesekali tangan Kak Manis dipegang dan digenggam. Memujuk dengan lembut. Dia juga cuba meneka sesekali. Setiap kali itu Kak Manis menggeleng.

“Pasal Abang Ilham..?”, duga Nani buat kesekian kalinya seperti kehairanan bunyinya.

Kak Manis tidak menggeleng mahupun mengiyakannya.

“Betul ke sebab Abang Ilham..?”, Nani terus bertanya untuk kepastian

Tidak ada jawapan. Nani masih menunggu. Nani kenal rapat Abang Ilham dan Kak Manis walaupun mereka belum cukup setahun kenal antara satu sama lain. Tetapi, kemesraan itu tumbuh dengan subur sejak mereka pertama kali lagi berjumpa. Sejak Nani datang ke rumah yang dibeli Afandi itu.

Walaupun ada sedikit perbezaan antara  mereka, tetapi semua itu tidak pernah menghalang untuk mereka kenal dengan lebih rapat lagi.

“Nani…, Abang Ilham…”

“Ye kak. Kenapa dengan Abang Ilham..? Cakaplah..”, pujuk Nani perlahan.

Kak Manis mengeluh dalam. Nani dapat mengagak tetapi, dia tidak mahu jika dia tersalah bicara bila meluahkannya. Memang itu yang selalu Nani praktikkan pada sesiapa yang memerlukan khidmatnya. Dia mendengar dengan teliti dan mencuba sedaya-upaya menjaga tuturnya supaya tidak terguris perasaan siapa-siapa.

Kak Manis mengeluh lagi.

“Nani, kak balik dulu lah. I need a time..”.

Kak Manis mengelap air matanya yang berbaki.

“Tak apa kak.”

Nani sudah biasa begitu. Sesetengah yang datang padanya hanya menangis dan kemudian berlalu pergi begitu sahaja. Pada Nani mungkin mereka cuma memerlukan teman untuk menangis. Mereka adalah klien yang sudah biasa untuk rundingcara bersama Nani. Nani banyak menolong kliennya agar dapat memahami diri dan situasi yang sedang bergolak, mengenal pasti keperluan mereka, menerima realiti hidup mereka dan membantu dalam hal yang berkaitan. Paling penting menolong seseorang itu menjadi individu yang berfungsi dengan sepenuhnya, sebagai Khalifah Allah di muka bumi ini.

Kak Manis berlalu keluar dari pintu pejabat Nani dan terserempak dengan Farhan. Farhan jadi terkedu bila melihat ada air mata di pipi Kak Manis.

Terus dia bertanya pada Nani dengan mengetuk pintu terlebih dahulu.

Why..?”, soal Farhan pada Nani.

Nani hanya mengangkat bahu tanda dia juga tidak tahu hal sebenarnya. Lagi pula, salah satu kriteria menjadi seorang kaunselor adalah wajib menyimpan semua hal peribadi kliennya. Jika Nani juga memerlukan khidmat nasihat dari siapa-siapa dia tidak sama sekali mendedahkan profil kliennya. Itu adalah sulit dan peribadi.

Sebab itu ramai yang selalu rundingcara dengan Nani. Seorang yang boleh dipercayai. Nani juga berharap dia dapat menyimpan kemas semua fail dan kes kliennya.
Nani kembali ke mejanya. Dia teringat sesuatu. Dia mahu semak status facebook Kak Manis.

Email. Password. Log In.

“Okay. Cari Manis Madu.. Hmm.. Aha!”