Manis Madu went from being “married” to “it’s complicated.”
Saturday at 6:30am Like. Comment.
Hati ku telah berbahagi.. Kiri dan kanan
Friday at 8:32pm Like. Comment. Share
Manis Madu
I am freaking sad!!
Friday at 5:00pm Like. Comment. Share
“Lailahaillallah.. Dari hari Jumaat lagi. Apa yang terjadi..? Kesiannya Kak Manis..”
Manis Madu adalah nama yang digunakan Kak Manis sebagai nama samarannya di facebook.
Apa yang Nani selalu pegang dalam menghadapi situasi yang sebegitu, dia sendiri tidak akan terus bertanya kepada kliennya jika mereka enggan membuka mulut meluahkannya untuk pertama kali bersua. Dia mahu menjejaki sendiri supaya dia dapat mengagak perkara yang sedang berlaku kepada mereka sebelum Nani terus membuat konklusi tentang situasi sebenar. Nani cuba memahami keadaan yang sedang dan telah berlaku kepada kliennya.
Nani mempunyai ramai kawan-kawan di facebook yang selalu mendapatkan khidmat nasihat dan pandangannya. Doktor Jiwa Kacau adalah nama samaran yang digunakan Nani. Agak lucu bunyinya tetapi, dengan informasi dan tips yang telah banyak dikongsi Nani di wall facebook nya, mendapat tarikan siapa-siapa sahaja yang memerlukan khidmat nasihatnya.
Sesetengah daripada mereka ada juga menghantar mesej yang terkadang membuatkan Nani gelisah, cemas, serba salah dan sebagainya, bunyinya seperti; “Saya mahu bunuh diri, Saya mahu terjun bangunan” dan macam-macam lagi yang berkaitan. Mesej-mesej sebegitu menggerunkan. Nani menjadi bimbang jika mereka berbuat seperti yang mereka katakan. Buat masa ini, belum pernah lagi yang cuba berbuat seperti yang mereka katakan. Kerana itu Nani selalu berpegang teguh kepada nasihat dan teguran yang berhikmah dalam rundingcara bersamanya. Menekankan kembali kepada mereka untuk memahami erti sebenar hidup sebagai seorang Muslim.
Buku tulisan Fathi Yakan, Apa Ertinya Saya Menganut Islam? selalu menjadi rujukan dan panduan buat Nani. Menjadi seorang kaunselor yang memberi pendekatan kepada kehidupan yang dicintai Islam itu, sebenarnya terasa berat bagi Nani. Seolah memikul pundak yang besar dan sangat berat. Tetapi, tugas itu adalah tanggungjawab semua insan yang bergelar Muslim.
Nani tidak pernah mengiktiraf dirinya sebagai kaunselor, kerana itu bukan cita-citanya. Dia lebih meminati bidang Forensik tetapi, bidang itu sangat sedikit peluang pekerjaannya. Nani percaya, Allah telah memilihnya untuk menjadi pendengar yang baik terhadap masalah orang lain.
Di wall Kak Manis, Nani menuliskan sesuatu.
Doktor Jiwa Kacau
What’s going on? R u ok my dear sis?
2 seconds ago Like. Comment. Share
Nani menganggap Kak Manis itu seperti kakaknya sendiri dan mereka adalah sahabat baik. Ini kerana, semasa Nani baru sahaja menduduki rumah itu Kak Manis yang pertama sekali menegurnya dan begitu mesra melayannya. Nani gembira dengan layanan yang diterima dan kerap dia ke rumah Kak Manis ketika Afandi tiada di rumah sehinggakan dia juga sudah terbiasa di rumah Kak Manis. Dia menghabiskan masa sendiriannya di situ. Mengisi kekosongan waktunya. Anak-anak Kak Manis juga sangat sukakannya dan memanggilnya dengan panggilan Kak Nani.
Sesekali Nani membalas kesemua notifikasi yang tertera di wall facebook nya. Sangat banyak. Ramai yang mengucapkan ribuan terima kasih kerana pertolongan yang diberikan Nani, kerana memahami gelora di hati mereka. Terkadang ada juga jejaka-jejaka yang cuba mencuri perhatiannya, mengajaknya keluar bersama dan sesekali Nani menerima hadiah kejutan dari seseorang. Nani juga tidak tahu siapakah gerangan yang selalu berbuat demikian. Nani tersenyum. Sesekali terhibur bila mendapat hadiah dari seseorang yang misteri.
Walaupun pelbagai rupa yang indah telah datang kepadanya, dan cuba memikatnya tetapi, Afandi juga yang tetap di hatinya. Nani percaya, memang itulah dinamakan jodoh.
Tiba-tiba telefon Nani berbunyi menandakan mesej telah masuk, menghentikan lamunannya. Nani membelek telefonnya.
“Ohh…”.
Nani tersenyum. Afandi telah mengajaknya untuk makan bersama tengahari itu. Nani berasa hairan bercampur gembira kerana itu adalah pertama kali Afandi mengajaknya untuk makan di luar berdua.
Ok. Mesej Afandi dibalas ringkas.
Pukul 12. Lagi setengah jam dia akan keluar untuk menemui Afandi. Hati Nani berbunga. Mereka akan keluar berdua. Perkara yang telah lama ditunggu-tunggu.
Jam terasa lambat berlalu. Nani berulang-ulang melihat jam di pergelangan tangan.
Nani keluar awal 5 minit. Kalenjar adrenalinnya telah merembes lalu membuatkan jantungnya berdegup dengan kencang dan tidak sekata seperti selalu. Nani gementar. Sesekali dia beristighfar. Padanya, bukan senang untuk keluar berdua apalagi makan bersama di satu meja bersama Afandi.
“Oh! Romantik..”
Bahagianya Nani terasa. Dia tersenyum lagi.
“Opocot!”, Farhan menyergah semasa Nani keluar dari bilik pejabatnya.
Ketawa Farhan bila melihat Nani sedikit terkejut dengan sergahannya.
“Tersenyum dari tadi. Kenapa ntah?”
“Ooo.. Mengintip eh..?”, soal Nani memulangkan paku buah keras pada Farhan.
“Huh! Mana ada. Saya buat kerja la tadi..”
“Tipu.. Tak baik tau ..”, Nani ketawa bila mengusik Farhan begitu.
Terlupa Nani tentang hal Kak Manis tadi. Farhan pernah mengingatkannya, menjadi kaunselor bukan bermakna dia perlu dalam keadaan tertekan setiap hari dan setiap masa. Bebaskan minda dan diri dari dibelenggu.
Nani tersenyum melihat Farhan tersipu-sipu malu walhal, watak sebenarnya bukan begitu.
“Pergi mana?”
“Biarlah rahsia..”.
Farhan mencebikkan bibirnya. Ketawa mereka berderai. Semua memandang ke arah mereka. Nani tersipu malu.
Jarak tempat bekerja Nani dan Afandi tidaklah jauh tetapi, mereka tidak pernah pergi bersama. Nani juga tidak pernah meminta Afandi menghantarnya melainkan Afandi yang mengajaknya sendiri. Tetapi, hal itu memang mustahil. Masa berdua untuk mereka sangat kurang. Hari itu, Nani begitu gembira kerana hal yang diimpikan telah berlaku. Dia mengelamun lagi.
Setibanya di tempat yang dijanjikan, Nani melihat Afandi bersama seseorang di situ. Seorang wanita yang dikenalinya. Penglihatan Nani walaupun sedikit rabun tetapi, dia masih dapat mengagak lenggokan tubuh badan wanita itu. Dia cuba dan masih berbaik sangka.
Kereta diparkir dan terus menuju ke meja yang diduduki Afandi. Tidak sah lagi, wajah wanita itu makin jelas di penglihatan Nani. Mastura. Begitu gembira sekali mereka duduk di meja yang dikhaskan untuk satu pasangan di situ. Sesekali mereka ketawa. Nani terasa mual dengan perilaku wanita itu.
“Assalamualaikum.”, ucap Nani setibanya di meja yang diduduki Afandi.
Ketawa mereka terhenti.
“Waalaikumsalam..”, jawab Afandi manakala, Mastura cuma acuh tak acuh menjawabnya.
Nani memandang wajah Afandi, memegang meja dan meletakkan tangan di dada tanda bertanya harus di mana dia duduk di meja yang hanya menyediakan dua buah kerusi.
Afandi nampak gelisah. Menggelabah.
“Oh! Sorry. Salah meja.”, Nani berpura-pura dan tersenyum.
Dia terus berlalu meninggalkan meja itu sekaligus meninggalkan restoran itu. Putus selera makannya. Tidak ada air mata yang menitis. Nani merasakan air matanya sudah kering untuk tumpah. Dia tidak tahu sudah berapa banyak lagi Afandi menipu dirinya. Dia tidak mahu ambil tahu lagi. Hatinya sakit.
Sebelum sempat pintu kereta dibuka, seseorang menolaknya kembali. Nani kenal baju kemeja dan kasut yang dipakai tuan empunya badan yang berada di sebelahnya itu. Nani memandang. Tersenyum.
“Farhan.. Buat apa kat sini?”, soal Nani.
“Nak pancing ikan. Nak ikut?”, jawab Farhan selamba sengaja mengusik Nani.
Mereka ketawa. Hati Nani terubat. Dia juga berharap dia cepat melupakan apa yang berlaku tadi.
Farhan telah melihat kejadian tadi. Tetapi, dia berpura-pura tidak tahu. Dia tahu Nani sedih. Walaupun tidak ada air mata yang terlihat di wajah Nani, Farhan berasa sangat kasihan. Dia merasakan Afandi seorang yang tidak tahu bersyukur dikurniakan seorang isteri yang indah peribadi seperti Nani. Nani sangat penyabar orangnya dan Farhan tahu pasti Nani telah banyak memendam perasaan. Kerana itu, Farhan jatuh hati pada keperibadian Nani.
Definisi cantik itu memang subjektif. Memiliki isteri yang cantik itu bukan satu jaminan kerana akhirnya pasti menjadi tua dan hilang kecantikan itu. Tetapi, cantik seorang isteri itu biarlah kerana peribadinya, kerana agamanya seperti sabdanya Rasulullah;
"Perempuan itu dikahwini kerana empat perkara. Kerana hartanya, kerana keturunannya, kecantikannya dan kerana keagamaannya. Maka utamakanlah yang beragama nescaya kamu mendapat kebahagiaan".
Farhan tersenyum.
“Jom kita makan sama. Nak tak?”, Tanya Farhan
“Kita berdua aje ke?”
“Yela. Kita tak pernah dating. Sekali sekala tak apakan?”
“Tak naklah saya. Saya nak balik office lah. Kak Manis…”
Farhan ketawa dengan jawapan yang diberikan Nani.
“Tak habis-habis dengan Kak Manis. Biar la dulu. Itu haa Julia dan Hamdan pun ada sama. Tadi dia orang ke toilet. Jom lah..”, pujuk Farhan.
“Ok..”
Afandi hanya memandang mereka berempat dari jauh. Sepatutnya hari itu memang hari mereka. Mastura yang datang sendirian telah duduk di meja yang ditempah Afandi walaupun tanpa dipelawa. Salahkah dia membenarkan Mastura duduk di kerusi yang sepatutnya diduduki Nani itu?
Afandi tertunduk, merenung ke lantai dan menghempaskan badannya di bahagian belakang kerusi. Dia menghembus nafas. Marahkan siapa lagi pada hari itu? Yang pasti bukan Nani.
Nani yang sedang asyik menjamah di meja bersama rakan sepejabat tidak langsung menoleh ke arah Afandi. Farhan sendiri sengaja menarik perhatiannya dengan membuka cerita-cerita lucu. Sesekali Nani tertawa.
Afandi tidak dapat menjamah dengan berselera sekali walaupun di situ adalah restoran kegemarannya yang disinggah saban hari bekerja. Dia merenung Nani. Afandi gembira melihat Nani ketawa begitu. Dia merasakan bahawa dia adalah lelaki yang tidak tahu bersyukur dengan kehadiran Nani dalam hidupnya. Nani sangat menjaga pergaulannya. Hatinya terasa sebak. Dia begitu kecewa kerana tidak pernah membuatkan isterinya itu ketawa mahupun bergembira. Yang dia tahu, Nani selalu menangis kerana layanan biadapnya. Tetapi, Nani tidak pernah melawan. Peribadinya sungguh mengasyikkan hati Afandi. Nani sangat sopan dan penyantun orangnya.
Afandi lantas bangun, meninggalkan Mastura yang terkial-kial menghabiskan sisa makanannya.
“Fendy!”, jerit Mastura dengan kuat.
Semua mata tertancap pada Mastura termasuk Nani dan rakan sepejabatnya. Mastura menjeling tajam bila Nani melihat ke arahnya. Afandi pergi begitu sahaja meninggalkan restoran tersebut dengan wajah yang serius sekali. Nani memandang suaminya. Bersalahkah Nani?