Perkahwinan itu bukan pun atas pilihan mereka. Ia berlaku atas aturan keluarga. Kata ibu, pilihan ibu bapa itu paling baik untuk anak-anak. Lagi pula, ayah Nani bersahabat baik dengan ayah Afandi. Mereka teman sekampus sewaktu muda-muda dahulu. Dalam bidang yang sama, Kejuruteraan Elektrik. Mereka juga di kelas dan dorm yang sama. Ke mana-mana jua pasti berdua. Sehingga mereka telah berjanji, hubungan itu akan diikat dengan lebih kuat dengan menyatukan anak teruna dan anak dara mereka.
Nani hanya mampu diam atas pilihan tersebut walaupun dia tidak mengenali Afandi sedalamnya. Bukankah diam itu tandanya setuju? Itulah yang selalu Nani dengar dari corong radio ceramah Ustaz Azizan bertajuk Soal Jodoh. Lagipun Nani selalu terbaca, bercinta selepas berkahwin itu lagi manis. Nani mahu merasainya. Bukan tidak ada jejaka yang cuba memikatnya, cuma dia tidak mahu andai perhubungan itu bisa mengganggu pembelajarannya di kampus dulu. Lalu, dia menolak semua ajakan teruna yang mahu menjadikannya sebagai teman istimewa. Tidak ketinggalan Farhan yang berada di bidang yang sama dengan Nani, Sains Sosial dan Kemanusiaan. Cumanya Nani dalam program Psikologi manakala Farhan dalam program Kerja Sosial. Kini, Farhan dan Nani bekerja di tempat yang sama cuma dalam bahagian yang berbeza. Farhan mengerti akan pendirian Nani sehingga Nani dinikahkan dengan Afandi. Sejak itu dia tidak lagi mengejar Nani, walaupun sedikit berasa kecewa. Cuma dia berjanji mahu menjadi sahabat baik Nani.
Nani cuma sempat mengenali Afandi dua tahun, sewaktu Afandi menjadi pelajar baru di sekolah mereka. Sesingkat itu, Nani mengagumi Afandi yang banyak berdiam dari bercakap dan selalu menduduki tempat ke-5 dan ke atas setiap kali peperiksaan di sekolah mereka. Dia juga sangat menjaga perilakunya ketika bermua’malah dengan pelajar perempuan. Tidak hairan jika Afandi memperoleh kejayaan yang cemerlang dalam SPM atas keperibadiaannya yang santun itu. Selepas itu, Nani tidak lagi kedengaran apa-apa berita tentang Afandi. Cumanya ayah ada mengatakan Afandi dapat menyambung pelajaran ke Manchester, di University of Manchester dalam bidang Electrical & Electronic Engineering selama 3 tahun setengah. Mewarisi ayahnya tetapi, sangat jauh berbeza dengan pekerjaan yang dijawat sekarang. Nani pula lebih selesa menyambung di dalam negeri, UKM sebagai pilihan. Selama itu dia merindui Afandi dalam diam. Ada masa Nani teringatkan Afandi tapi, cepat-cepat dia beristighfar kerana itu hanya mainan syaitan.
Sekarang, bila lelaki itu berada di hadapannya, dan berjumpa saban hari perasaan itu menjadi hampa. Harapan setinggi gunung itu bagaikan telah musnah, semusnah impian Nani untuk hidup bahagia dengan lelaki yang menjadi pujaannya dulu. Nani mahu menangis bila teringatkan semua itu. Terasa dia tersalah menduga dan tersalah mencintai lelaki itu. Menyesal pun tidak ada gunanya lagi. Tetapi, Nani perlu kuatkan semangatnya, kerana dia yakin suatu hari nanti pasti akan lembut juga hati Afandi. Kata orang batu yang keras itu akan berlekuk juga andai ada air yang menitis ke atasnya. Begitulah perumpamaan kepada hati manusia. Nani masih mahu menaruh harapan selagi boleh. Nani sentiasa berdoa dan terus berharap. Lagipun, apalah guna jika dia yang berjurusan Psikologi itu tidak dapat mengatasi masalahnya sendiri. Tapi, hakikatnya manusia itu lemah dan perlukan teman untuk menguatkan. Nani perlukan semua itu dari Afandi.
Afandi pun bukanlah sengaja berkasar dengan Nani. Sesekali dia tersedar perbuatannya itu melampau-lampau sehingga sanggup mengasari isterinya yang tidak bersalah. Hubungan mereka sah. Sah di sisi agama dan undang-undang. Afandi menyesal tapi hanya untuk seketika. Esok hari masih berulang peristiwa pahit untuk Nani. Afandi selalu bertanya kepada dirinya sendiri. Kenapa begitu sekali dia perlakukan pada Nani..? Dia tidak bersalah. Afandi kira dia masih belum bersedia untuk memikul tanggungjawab sebagai suami sementelah dua tahun pulang dari Manchester dulu. Lagi pula, dia telah berjanji dengan Marina , teman istimewanya semasa belajar di sana . Tetapi, ibu dan ayah Afandi tidak begitu gemar akan sikap Marina yang sukakan kebebasan tanpa had. Marina selalu mengajak Afandi keluar sehingga ke larut malam. Walaupun Marina bertudung tetapi pakaiannya terlalu menjolok mata. Afandi ada menegur Marina tentang itu, tetapi tidak diendahkan. Katanya, dia akan berubah setelah mereka bergelar isteri kepada Afandi. Peringatan itu selalu diulang-ulang Afandi pada Marina .
"Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan-perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar); cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu. Dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani." (Surah Al-Ahzab:59)
Afandi hanya tersenyum dengan jawapan Marina . Lagi pula, Marina bukan atas tanggungannya. Bila berjauhan dari keluarga begitu sekali perilaku anak muda-mudi. Sangat bebas dalam pergaulan dan karakter Afandi yang santun itu tenggelam dengan arus kebebasan. Mungkin Nani juga tidak tahu yang Afandi pernah hangat bercinta dengan Marina . Sehingga suatu masa, impian Afandi dan Marina untuk hidup bersama tidak menjadi kenyataan, yang tinggal hanya angan semata. Dan pada hari bersejarah Afandi itu, Marina memenuhi undangan untuk melihat sendiri gadis yang telah menjadi permaisuri hati Afandi buat selamanya. Marina masih teringat akan kata-kata Afandi bahawa mana-mana wanita yang dinikahi buat pertama kali itu, akan tetap menjadi ratu hatinya sampai bila-bila. Semua itu hanya untuk memujuk Marina supaya dia berubah seperti yang Afandi dan keluarganya inginkan. Pada majlis perkahwinan itu, Marina yang berbaju kebarung jarang berwarna merah beserta tudung lilit dan kaca mata serba hitam, cuba menyembunyikan diri disebalik keramaian tetamu. Namun, Afandi masih jelas dengan kelibat Marina tapi, hampa dengan penampilan Marina yang masih tidak berubah malah semakin galak bergaya. Marina membawakan sebuah hadiah, sehelai kemeja dan tali pinggang Crocodile yang telah lama diidamkan Afandi. Tanpa menjamah sedikit pun, Marina berlalu pergi meninggalkan majlis itu selepas meletakkan hadiah tersebut di meja yang terletak di ruang tamu. Dia berjanji tidak akan mencari lagi Afandi. Biarlah dibawa jauh hati yang pilu. Tanpa sempat mengejar, Afandi hanya pergi mendapatkan hadiah yang ditinggalkan Marina . Di atas kotak hadiah itu, tertulis “Semoga Berbahagia Fendy!”. Afandi terasa mahu mengorak langkah, mengejar, tetapi dia masih waras. Hari itu hari dia menjadi raja sehari. Ibu ada berpesan hormat majlis walau apa pun yang akan terjadi. Afandi masih sedar, untuk apa dia mengejar Marina . Kerana kecantikan rupa paraskah? Atau kerana agamanya..? Pesan ibu lagi, Afandi harus belajar membuka ruang dan pintu hati buat Nani. Nani adalah calon isteri yang paling baik buatnya. Santun peribadi. Hati yng mulus. Tapi sehingga kini, setelah 6 bulan mereka sah menjadi suami isteri, hati Afandi masih keruh buat Nani, sekeruh air di perigi.
* * * * * * * * * * * * *
best nye citer nih..xsabar nk bace bahagian seterusnya..=))
ReplyDeletea'a la min...best la jgk citer min ni...sarah kurang skit bab2 baca novel cinta ni...slalunya fantasi je semata2...tp baca min nye ni trasa la nk baca lg...
ReplyDelete